Wednesday, November 14, 2012

Hijrah: Larangan Membunuh Semut

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1434. Semoga tahun baru ini memberikan pengertian yang sebenar-benarnya dalam kehidupan seharian kita. Apakah hijrah anda tahun ini?
Sambutan tahun baru hijrah bukan setakat untuk diraikan kedatangannya, tetapi yang lebih penting lagi ialah pengisiannya untuk tempoh setahun yang mendatang. Kerana itu saya lontarkan satu persoalan di atas tadi.
Untuk saya, 'Saya tidak akan membunuh semut kecuali atas sebab-sebab tertentu, atau tidak sengaja. Dengan kata lain, saya bertekad tidak akan membunuh semut sewenang-wenangnya, seperti sebelum ini.' Semoga Allah swt akan memberi saya petunjuk ke arah cita-cita hijrah ini.
Sebuah hadis menyebut, dari Abu Hurairah ra katanya Rasulullah saw bersabda, 'Seekor semut menggigit seorang Nabi di antara para nabi-nabi, lalu nabi tersebut menyuruh bakar sarang semut itu, lalu dibakarlah. Kemudian Allah swt mewahyukan kepadanya, 'Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan suatu umat yang selalu membaca tasbih'. (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 2096)
Inilah hijrah saya untuk tahun 1434, dan semoga kekal hingga ke akhir hayat.
Saya pernah terbaca satu kesah seorang anak 7 tahunan yang lahirnya adalah seorang India (Hindu mungkin), yang sanggup mengangkat basikal yang ditunggangnya kerana mengelakkan deretan semut yang melintasi jalan. Ini memperlihatkan betapa anak yang mungkin bukan Islam (?) itu pun diajar agar tidak menganiaya binatang. Bagaimana pula kita?
Jadi untuk pengisian tahun-tahun hijrah yang mendatang itu baik kita mulakan dengan sekurang-kurangnya satu. Hijrah kita lebih bermakna jika kita dapat meninggalkan satu-satu maksiat yang kita lakukan selama ini. Inilah pengertian sambutan tahun hijrah yang paling bermakna. Ingatlah ayat 6 surah al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment